| Versi Inggeris
| Versi Bahasa Cina
"Rakyat Adalah Bos!"
Rakyat adalah tuan punya kepada negara dan bos kepada kerajaan. Dalam mana-mana negara moden, konsep ini dihormati sepenuhnya. Pada halnya, pergerakan anti-penjajahan dan nasionalisme yang berkembang di seluruh dunia dalam pertengahan Abad ke-20 bertujuan untuk menegakkan kedudukan rakyat sebagai tuan punya negaranya, bukan untuk menggantikan penjajah asing dengan penjajah tempatan yang terus menghambaabdikan rakyat. Malangnya, selepas 42 tahun kemerdekaan, masih ramai yang gagal menghormati rakyat sebagai tuan punya negara. Apa yang memenuhi telinga kita adalah dalih-dalih palsu seperti "Rakyat harus berterima kasih kepada kerajaan", "Media kerajaan adalah mesin propaganda khas untuk parti pemerintah" serta "Kawasan yang menyokong parti pembangkang tidak akan dibangunkan". Ini bukan sahaja mencerminkan keangkuhan ahli-ahli politik tetapi juga kedaifan rakyat. Sikap-sikap Ini merupakan punca kepada masalah-masalah yang dihadapi negara kita : kehidupan harian rakyat yang disukarkan oleh pelbagai kesulitan, komuniti-komuniti dinafikan hak pembangunan yang sewajarnya, isu-isu nasional diabaikan kerana isu-isu etnik dan agama lebih mendapat perhatian, malahan, nyawa serta harta-benda terkorban dalam keadaan yang sebenarnya dapat dielakkan. Rakyat yang tidak bijak memilih tidak mungkin dapat melahirkan pemimpin yang amanah dan berkaliber. Rakyat harus sedar tentang apa yang berlaku di sekitar mereka sebelum mereka boleh menuntut kemajuan. Kami ingin mengajak warga-warga Malaysia sekalian untuk beridiri tegak atas hak dan harga diri mereka. Tidak kira parti mana yang kita sokong, pastikan kita anda sampaikan mesej ini kepada parti-parti dan ahli-ahli politik dengan jelas dan tegasnya : "Rakyat Adalah Bos ! "
1. Rakyat adalah Bos, Kerajaan cumalah Pengurusan Rakyat adalah tuan punya negara, kerajaan cumalah pihak yang dilantik rakyat untuk mentadbir negara. Bayangkan negara itu sebuah korporat. Rakyat adalah bos, setiap warganegara merupakan pemegang saham. Kerajaan adalah pengurusan dan pemegang-pemegang jawatan awam adalah orang suruhan rakyat. Upah dan gaji kakitangan kerajaan serta perbelanjaan kerajaan yang lain dibayar dengan wang rakyat yang datang bertitik peluh. Maka, kerajaan mestilah berkhidmat untuk rakyat. Kita rakyat, sebagai bos, berhak untuk mengkritik kerajaan. Kerajaan yang dilantik rakyat mesti menghormati suara hati rakyat yang melantiknya. Ia sama sekali tidak boleh mengugut atau menghukum bosnya. 2. Pilihanraya Adalah Proses Pemilihan Untuk Pengurusan Baru Tempoh sesebuah parti membentuk kerajaan selepas memenangi pilihanraya cumalah lima tahun sahaja. Jawatan kerajaan dikosongkan apabila tamatnya tempoh lima tahun itu ataupun apabila Parlimen dibubarkan oleh DYMM Yang Di-pertuan Agong atas nasihat kerajaan yang sedang memerintah. Pilihanraya sebenarnya adalah sesi temuduga untuk melantik pengurusan baru manakala pengundi adalah pemegang saham yang bersama-sama menemuduga calon-calon dan menentukan pemegang jawatan. Setiap pengundi itu bebas menentukan sama ada untuk mengekalkan pengurusan yang sama atau menukar orang baru. Apabila jawatan kerajaan dikosongkan kerana penamatan tempoh atau pembubaran Parlimen, parti pemerintah cuma berfungsi sebagai 'kerajaan penjaga' (care-taker government). Sepertimana seorang pengurus syarikat tidak boleh menggunakan wang pemegang saham untuk mempromosikan diri atau mengejar kepentingan dirinya, 'kerajaan penjaga' juga tidak harus menyalahgunakan sumber-sumber negara untuk mempromosikan diri demi mempertingkatkan peluang kemenangannya dalam pilihanraya. 3 Calon Tidak Boleh Mengugut Bosnya Semasa pilihanraya, semua parti politik dan calon adalah calon-calon untuk kerajaan baru. Mereka tidak harus menggunakan taktik-taktik kotor untuk mengugut pengundi sepertimana seorang pemohon kerja tidak boleh mengugut bakal majikan supaya melantiknya. Sebagai contoh, jika kerajaan sesebuah negara memperuntukkan dana pembangunan cuma untuk kawasan yang dimenangi parti pemerintah, perkara ini adalah tidak masuk akal sama seperti jika pengurusan sesebuah syarikat membahagikan dividen cuma kepada sebilangan dan bukan kesemua pemegang saham. 4 Pilihanrakyat bukanlah untuk membalas budi Undi adalah surat perlantikan untuk lima tahun akan datang. Maka, parti dan calon yang menang dalam pilihanraya sebenarnya berhutang budi kepada rakyat yang memberikan mereka mandat untuk merealisasikan rancangannya. Apabila mereka berkhidmat selepas pilihanraya, mereka sebenarnya sedang membalas budi pengundi. Kita pengundi tidak mempunyai kewajipan untuk memilih mereka sekali lagi dalam pilihanraya baru. Pilihan kita seharusnya bergantung kepada kebolehan mereka untuk menjalankan tugas dengan baik dalam tempoh lima tahun yang baru. Kita menilai pencapaian parti-parti dan ahli-ahli politik pada masa lalu cumalah untuk mengetahui sama ada mereka mempunyai hasrat, kecenderungan serta kebolehan dalam mencapai impian para bos, bukan untuk membalas budi mana-mana pihak. Ahli-ahli politik yang berjaya dipilih semula mesti ingat bahawa rakyat tidak berhutang budi kepada mereka dalam lima tahun yang lepas sebaliknya sekali lagi mereka kini berhutang budi kepada rakyat untuk lima tahun yang akan datang.
Sebagai bos kepada Kerajaan, rakyat mestilah menyatakan impian dan aspirasi mereka dengan jelas dan menyoal parti-parti politik dan calon-calon tentang cara untuk memenuhi impian kita. Kita tidak perlu menghambaabdikan diri kita dan terbelenggu oleh ahli politik. Wahai rakyat Malaysia, marilah kita berdiri tegak dan maju ke hadapan, bersama-sama mengemukakan permintaan dan harapan kita (seperti pembinaan sekolah, pembinaan tempat beribadat, penghapusan tol lebuhraya atau penyediaan tanah perkuburan) serta menuntut semua parti politik menyahut permintaan kita. Biar kita menentukan undi kita berdasarkan sejauhmana mereka sanggup menyahut permintaan kita. Kita tidak perlu merendah-rendahkan diri kita di depan ahli-ahli politik untuk membuat sesuatu tuntutan. Mengapa kita sebagai bos perlu merayu untuk perkhidmatan yang kita berhak terima ? Kita seharusnya memastikan ahli-ahli politik yang berkaliber berebut-rebut mengambil initiatif untuk memuaskan permintaan kita. Dengan cara ini, tidak kira siapa yang dipilih untuk memerintah, permintaan dan tuntutan kita akan dapat direalisasikan atau dihormati. Kita mesti menghormati diri kita sebelum kita mengharapkan penghormatan orang lain. Jika kita memainkan peranan kita sebagai bos, parti-parti dan ahli-ahli politik akan terpaksa memajukan diri mereka supaya tidak ketinggalan. Ini akan membawa kepada pembanguan yang lebih komprehensif dan pesat di bidang politik, ekonomi dan sosial. Inilah satu-satu caranya negara kita dapat boleh mencapai kestabilan, kemakmuran dan kemajuan yang bermakna sebenar. "Cuma bos yang pandai dapat memastikan kemajuan dan pembanguan korporat yang berterusan." Kita ingin berkongsi mesej ini dengan 10.3 juta orang boss di seluruh negara.
1. Mengadakan perjumpaan antara penduduk-penduduk tempatan untuk berbincang tentang isu politik, ekonomi dan isu-isu tempatan. Mengeluarkan Kenyataan Bos anda sendiri dan menuntut ahli politik serta pengundi lain supaya mengambil berat tuntutan mereka. 2. Menuntut parti-parti politik atau calon-calon supaya mengambil pendirian tentang deklarasi ini. 3. Menyelia media. Memastikan suara hati pengundi akan didengar. Bantahi laporan media yang tidak profesional dengan aduan, kritikan dan boikot. 4. Menyelia calon-calon yang dipilih untuk memastikan janji-janji mereka akan terkota.
Bosses Email : bosses@egroups.com |